Wednesday, July 1, 2020

KELAS ONLINE PASCA PKPP : ETE1013: 02 JULAI 2020


TARIKH : 02 Julai 2020
MASA   : 3.00 - 5.00 ptg

Arahan :-


(Isikan maklumat ini dlm google form kehadiran)

TARIKH : 02 Julai 2020
SUBJEK : ETE1013 : ULANGKAJI SIMBOL SIMBOL ELEKTRIK DAN TUGASAN

MASA  MULA :  3.00 pM
MASA TAMAT : 5.00 pm 


KLIK TUGASAN : TUGASAN ONLINE INI

DAN JAWAB SOALAN DI AKHIR NOTA ULANGKAJI.


NOTA ULANGKAJI :-


1.0 PROSEDUR MELAWAT TAPAK DAN PENILAIAN


1.0.1 Tatacara Merekabentuk Pepasangan Elektrik


Sebelum melakukan sesuatu pepasangan elektrik, lawatan tapak perlu dilakukan. Ini diikuti dengan penyediaan pelan pepasangan dan spesifikasi peralatan. Ini dipengaruhi oleh keadaan persekitaran seperti jenis bekalan yang diperlukan (satu fasa atau tiga fasa) dan beban maksima permintaan pengguna. Kemudian borang permohonan bekalan dihantar ke pihak pembekal bekalan. Setelah mendapat kelulusan bertulis, barulah kerja-kerja pepasangan boleh dimulakan.
Didalam proses kerja pepasangan, penyeliaan dan pemantauan perlu dilakukan bagi mempastikan kerja dapat dilakukan dalam tempoh yang telah ditetapkan dengan memenuhi segala kehendak pepasangan pengguna (berdasarkan plan pepasangan). Setelah selesai, pemeriksaan dan pengujian dilakukan bagi pengesahan permulaan. Kemudian borang G dan H dihantar ke pihak pembekal bagi mendapatkan pengesahan perakuan ujian. Akhirnya pihak pembekal akan memasang meter, menyambung bekalan dan mengujilari bekalan. Rujuk Lampiran 1 bagi Carta Alir Tatacara Pepasangan Elektrik.


1.0.2 Kriteria Merekabentuk
Seorang pendawai perlu mengadakan lawatan tapak untuk mengenalpasti keadaan persekitaran, jenis bangunan dan langkah perlindungan dalam merekabentuk pepasangan. Lawatan ini dilakukan bagi:-
  1. Mengenalpasti kategori bekalan (satu fasa /tiga fasa)
  2. Merancang susunatur kelengkapan
  3. Menentukan permintaan maksima beban
  4. Menentukan jenis pendawaian
  5. Pemilihan kelengkapan elektrik yang sesuai


Setelah itu, dapatkan plan lantai bangunan daripada pengguna. Jika tiada, pendawai perlu menyediakannya bagi persediaan menghasilkan lukisan susunatur pepasangan. Pendawai perlulah berbincang dengan pengguna berkaitan dengan keperluan pepasangan seperti beban diperlukan dan penempatan kelengkapan.
Apabila cadangan rekabentuk telah dipersetujui, pendawai perlu membuat anggaran permintaan maksima beban pengguna bagi menentukan spesifikasi kelengkapan pepasangan seperti kabel, alatlengkap dan kelengkapan elektrik.
Mengikut MS IEC 60364 Fasal 132, rekabentuk pepasangan hendaklah mengambilkira factor perlindungan pengguna, kelengkapan dan pendawaian agar berfungsi dengan betul serta selamat. Faktor ini merangkumi keperluan maklumat dalam Fasal 132.2 hingga 132.5 iaitu:-
  1. Mengenalpasti bekalan voltan.
  2. Mengenalpasti kategori bekalan (satu fasa / tiga fasa).
  3. Menentukan permintaan maksima beban.
  4. Penentuan dan pemilihan saiz kabel yang sesuai digunakan.
  5. Pemilihan peranti perlindungan yang sesuai dan betul.
  6. Menentukan jenis pembumian yang sesuai untuk pepasangan.
  7. Menentukan susunan litar pendawaian.
  8. Mengenalpasti keadaan persekitaran pendawaian.


  1. Gambarajah lukisan pemasangan elektrik



Terdapat berbagai jenis gambarajah yang diperlukan dalam kerja pemasangan elektrik. Diantaranya adalah:-
1.1.1 Gambarajah Plan Tapak / Lokasi. (Location Diagram)
Gambarajah ini disediakan bagi menunjukkan kedudukan sebenar sesebuah premis di sesuatu kawasan. Ia juga dapat menunjukkan topografi tanah, kemudahan perhubungan ketapak projek dan kedudukan bangunan serta perkhidmatan-perkhidmatan lain yang terlibat dengan projek ini. Dengan ini ia dapat memberi kemudahan kepada jurutera projek, juruteknik atau pembekal mesin dan peralatan menentukan kedudukan tapak pemasangan. Tujuan utama plan tapak dan lokasi adalah:-

  1. Untuk menentukan kedudukan lampu jalan atau lampu kawasan.
  2. Untuk menentukan laluan kabel ketapak pemasangan.
  3. Untuk menentukan saluran longkang atau peparitan agar laluan talian kabel perkhidmatan dapat dirancang dengan sempurna.
  4. Membantu pihak pembekal tenaga elektrik menentukan kedudukan pencawang dan membuat anggaran kos pembinaan.
Lukisan ini biasanya dilukis pada skala 1:100, 1:500 dan 1:1000.
1.1.2 Gambarajah Plan Bangunan (Building Plan Diagram)


Gambarajah ini merupakan lukisan senibina. Ia menentukan jenis bangunan (kayu/ bata/ kerangka besi) dan kedudukan pintu, tingkap dan sebagainya. Dengan ini permulaan kerja pemasangan elektrik serta kedudukan peralatan dan perkakasan elektrik dapat ditentukan.

1.1.3 Gambarajah tegak dan keratan (Sectioning Diagram)


Gambarajah ini disediakan bagi menunjukkan ketinggian sesuatu premis. Dengan ini ketinggian dan kedudukan peralatan seperti lampu, soket-alir-keluar, kipas dan sebagainya dapat ditentukan. Gambarajah ini sangat mustahak sekiranya melibatkan pemasangan lampu dan kipas. Suruhanjaya Tenaga telah menetapkan peraturan bagi menentukan ketinggian minima pemasangan peralatan elektrik (dari aras lantai kebahagian bawah peralatan) iaitu:-


  1. Kipas gantung di siling 240 sm
  2. Kipas melekat didinding. 205 sm
  3. Kotak fius agihan. 205 sm
  4. Suis 145 sm
  5. Soket-alir-keluar (permukaan) 145 sm
  6. Soket-alir-keluar (tersembunyi) 30 sm

1.1.4 Gambarajah Susunatur (Layout Diagram)


Gambarajah ini disediakan bagi menunjukkan penempatan alat lengkap dan peralatan pemasangan elektrik pada sesuatu premis samada didalam atau diluar bangunan. Umpamanya lokasi pencahaya, soket alur keluar, kipas siling dan peralatan elektrik yang lain. Gambarajah ini merupakan plan senibina atau arkitek bagi sesuatu bangunan. Ia dilukis secara lukisan orthografik dari arah atas (plan) pada skala yang sesuai dengan menggunakan simbol grafik elektrik. Skala yang biasa digunakan dalam plan susunatur ini ialah 1:100.

Secara umumnya, gambarajah ini dapat menentukan samada pemasangan yang dilakukan memenuhi kehendak, peraturan, selesa untuk digunakan dan peralatan diletakkan ditempat yang sesuai. Ia juga dapat membantu kerja-kerja perancangan peralatan di masa hadapan.
Bagi mengelakkan kekeliruan kepada pendawai elektrik, semua simbol perlulah dilukis dengan jelas dan betul pada skala yang bersesuaian dengan saiz bilik dan bangunan agar kelihatan menarik dan tidak mengelirukan. Amnya skala yang lazim digunakan adalah 1/8 atau 1/16. Disamping itu maklumat yang diberikan mestilah lengkap dan tepat seperti jenis suis, kadaran, jenis kelengkapan, bilangan litar-kecil-akhir dan sebagainya.


1.1.5 Gambarajah Pendawaian (Wiring Diagram)


Gambarajah ini menunjukkan bentuk kumpulan dan sambungan kabel pendawaian yang sebenar. Bentuk perjalanan kabel dan kedudukan komponen perlulah dikekalkan sama dengan keadaan sebenar. Tujuan gambarajah ini adalah untuk memberi kemudahan kepada pekerja pendawaian melakukan kerja serta menyurih nya untuk mencari kerosakan litar atau membuat tambahan litar. Gambarajah litar pendawaian lampu dan soket alir keluar (SAK) tidak perlu disediakan dalam pemasangan rumah dan industri kerana ianya mudah dilakukan. Diantara litar-litar pendawaian ini ialah:-


  1. Litar lampu dengan kawalan suis sehala, suis dua hala dan suis pertengahan.
  2. Litar SAK 13A (litar jejari)
  3. Litar SAK 13A (litar gelang)
  4. Litar SAK 15A.
  5. Litar penghawa dingin.
  6. Litar pemanas air. 
Tetapi bagi litar pendawaian yang rumit dan kompleks seperti pemasangan panel kawalan penghidup motor atau kawalan lampu yang rumit, gambarajah pendawaian perlu disediakan. Tanpa bantuan gambarajah ini, sambungan litar tidak dapat dilakukan dengan baik dan kemungkinan akan berlaku kesilapan sambungan.

1.1.5 Gambarajah Satu Garisan (Single Line Diagram)


Gambarajah ini digunakan untuk menunjukkan susunan turutan asas unit kawalan dan pengagihan bekalan kepada beban-beban dalam sesuatu pemasangan elektrik. Setiap blok akan mewakili satu litar beban.Pada pemasangan elektrik, gambarajah ini diperlukan bagi merancang keperluan pendawaian terutamanya pada pemasangan yang besar dan mempunyai panel kawalan. Umumnya, gambarajah ini merupakan gambaran asas yang ringkas bagi menunjukkan kawalan dan pembahagian sesuatu litar elektrik kepada beberapa unit agar mudah di fahami. Ia juga dapat menunjukkan laluan perjalanan sesuatu sistem pendawaian. Dengan ini panjang dan saiz kabel yang digunakan dapat dianggarkan dengan tepat.Ketika melukis gambarajah ini, anak panah arah aliran perlu dilukis dengan nama atau tugas setiap bahagian dicatatkan.

1.1.6 Gambarajah Skematik (Schematic Diagram)


Gambarajah ini digunakan bagi menunjukkan sambungan sesuatu litar elektrik secara urutan logik dan mudah. Ia juga menunjukkan kaedah pengagihan dan perpindahan tenaga elektrik dari peringkat awal hingga kepada pengguna atau beban.Sambungan beban perlulah ditulis dalam bentuk yang mudah difahami. Contoh:-

  1. 3 – 1 x 36w (P) diertikan sebagai 3 bilangan pencahaya pendaflour 1 x 36w dan P menunjukkan pencahaya yang digunakan dari jenis pendaflour.
  2. 2 – 1 x 60w (T) dimana ia mengandungi 2 bilangan pencahaya tungsten 1 x 60w.
  3. (M) – menunjukkan lampu dari jenis mercury/ raksa.


Gambarajah ini bertujuan untuk memudahkan kerja-kerja menganggar keperluan arus litar, saiz kabel, kadar alat perlindungan dan kadar arus peralatan pada pemasangan elektrik.
Aturan melukis gambarajah skematik hendaklah mengikut garis panduan yang telah ditetapkan oleh Suruhanjaya Tenaga.
  1. Semua alat lengkap dan komponen perlulah dilukis dalam bentuk simbol piawai pada ukuran yang sesuai.
  2. Nama dan kadaran setiap alat lengkap atau komponen perlulah ditulis berhampiran dengannya.
  3. Jarak diantara alat lengkap atau komponen adalah 2 – 3 sm, berdasarkan saiz kertas yang digunakan.
  4. Setiap litar kecil akhir perlulah ditulis nombor.
  5. Setiap alat perlindungan perlulah ditulis kadarannya dengan jelas berhampiran dengannya.
  6. Jumlah fius atau pemutus litar akan menentukan saiz kotak agihan yang digunakan.
  7. Nama kotak agihan, bilangan kutub, bilangan hala dan jenis binaannya hendaklah ditulis berhampiran kotak.
  8. Setiap kabel perlulah ditulis saiz dan jenisnya
  9. Setiap litar-kecil-akhir perlu ditulis beban, kadaran arus / kuasa dan bilangan


SOALAN :
  1. Senaraikan empat (4) jenis lukisan dan gambarajah dalam bidang elektrik:
    1. ________________________________________________________
    2. _________________________________________________________
    3. _________________________________________________________
    4. _________________________________________________________


  1. Apakah yang dimaksudkan dengan lukisan pelan susunatur?
___________________________________________________________
___________________________________________________________


  1. Nyatakan sifat gambarajah skematik:
___________________________________________________________
___________________________________________________________


  1. Berikan perbezaan diantara gambarajah litar dan gambarajah pendawaian:
___________________________________________________________
____________________________________________________________
____________________________________________________________


  1. Apakah tujuan simbol-simbol piawai diwujudkan?
___________________________________________________________
________________________________________________________;’___













No comments:

Post a Comment